Monday 28 February 2022

Positive Covid

 


Aku, bini aku dan Aqilah positive covid. Ntah tak tau kat mana kami kena. Yang pastinya aku demam dulu lepastu baru bini aku. Aku rasa aku ni demam macam biasa, adalah batuk sikit-sikit. Tapi sebab aku pun dah lama tak demam so aku rasa biasa jer la demam yang aku kena ni. Dalam 2 hari macam tu aku dah rasa sihat. Tapi bini aku pulak yang start demam dengan batuk. Bini aku ni kalau dah batuk, bunyi macam nak tercabut tekak. Kita yang dengar dia batuk memang tak tahan la. 

Bini aku suruh aku test STK mana tau kena covid. Aku buat test 2 kali, negatif. Bini aku bila dah ada simptom demam tu dia pun cek. Terus positif. Dah Aqilah pun start batuk-batuk. Kami pun buat la RTK satu family. Resultnya kakak jer negatif. Yang lain semua positif. Aku pulak time ni dah tak rasa demam dah. Dah rasa sihat macam biasa.

Bila dah positif covid tu, pihak klinik akan update ke KKM. Lepas tu MySejahtera pun jadi merah macam gambar kat atas tu. Sekarang ni tak payah dah ambik gelang, kena kuarantin sendiri. Kalau simptom makin teruk baru la pegi Covid Assestment Center (CAC). Kalau takde apa-apa tak payah pergi CAC cuma kena update kat MySejahtera pagi dan petang sampai la habis kuarantin.  


Kuarantin pun sekarang ni 7 hari compare dengan awal-awal dulu 14 hari. Duduk jer la dalam rumah. Minta tolong kawan-kawan belikan barang-barang keperluan. Kalau nak makan order jer pakai Grab tak pun FoodPanda. Lagi satu bila positif covid ni, benda wajib ada ialah device untuk cek suhu, oxymeter untuk cek oksigen level dengan device untuk check blood pressure. Reading ni hari-hari kena update kat MySejahtera. Kena juga sediakan ubat macam panadol, dan ubat batuk. Selain tu beli la madu, lemon dengan habatussauda. Kami hari-hari minum lemon campur madu titik habatussauda. Alhamdulillah kurang la sikit sakit tekak.

Kalau ikutkan, aku dengan anak aku tak teruk. Macam demam biasa, batuk pun sikit-sikit jer. Bini aku nak kata teruk sangat pun tak juga. Batuk, sakit kepala tapi takde la sampai tak bangun. Nak kata takde deria rasa dengan bau, takde pulak dia komplen. Maybe kami cuma kena mild symptom kot tapi tak tau la. Oksigen level pun tak pernah drop. Maintain jer 98-99%. Alhamdulillah, syukur la juga tak kena teruk sebab tak tau la cabaran dia camne kan.Based on video orang share, katanya lepas dah kena covid, for the next 90 days takkan kena dah. Tak tau la sahih ke tidak. Hopefully macam tu la.


Monday 7 February 2022

Balik Kampung + CNY

Sebenarnya bini aku yang mengajak balik kampung ni. Katanya nanti cuti Tahun Baru Cina panjang (1-2 Feb). Bertembung pulak dengan cuti Hari Wilayah (1 Feb). Sebabkan cuti Hari Wilayah tu dah bertembung dengan CNY pada hari Selasa, dapat la cuti ganti pada hari Khamis. Bini aku dah siap-siap bagitau ambil cuti 2 hari (31 Jan dan 4 Feb)  dapat cuti seminggu. Aku mula-mula tu tak nak balik KK sebab Covid. Yer la, kat airport kena berjarak tapi dalam flight duduk rapat-rapat gak. Aku fikirkan anak-anak aku tapi bila fikir balik, dah lama aku tak balik KK jumpa mak bapa aku, takpa la aku tawakal. Sekurang-kurangnya dah ada langkah-langkah pencegahan dari terkena Covid. Kalau bimbang lebih-lebih ni satu apa pun tak jadi nanti.


Nak ke KLIA2 kami rancang naik ERL. Anak-anak aku pun dah lama tak naik train. Lagipun aku terpikir senang sikit parking kat Salak Tinggi lepas tu naik ERL. Ingat nak naik dari Putrajaya Sentral tapi kat Putrajaya Sentral ni parking selalunya penuh.

Alhamdulillah perjalanan kami ke KK naik flight AirAsia takde problem. Kakak menangis sebab terbawa gunting so kat security gunting tu kena ambik. Kakak beriya nak bawa beg sekolah. Kami dah pesan kosongkan beg tapi terlupa nak cek. Adik sebelum naik flight mengamuk sebab mengantuk tapi tak dapat isap jari. Aku bawa basuh tangan tak nak last-last isap juga jari. Heh.

Esoknya kami pegi Gaya Street. Gaya Street ni kalau hujung minggu macam pasar tani la. Macam-macam barang orang jual. Bini aku suka pegi sini sebab dapat cari kuih-kuih dari Sabah. Aku ni pulak tak berapa makan kuih. Bini aku cakap kawin dengan orang Sabah tapi jarang dapat makan makanan Sabah. Nak buat macamana memang tak berapa kena dengan selera aku. Dah aku pun membesar kat Johor pastu study dengan kerja kat Selangor.


Balik kali ni family aku ajak pegi Kuala Penyu bermalam satu malam. Sewa homestay tepi pantai. Yang bestnya duduk homestay ni, siang pakai solar, malam pakai generator. Elektrik tak masuk lagi kampung tu. Puas anak-anak aku main pasir dengan mandi laut. Bestnya pantai kat tempat aku tinggal ni ada macam teluk kecil. Jadi ombak besar tak masuk ke teluk ni. Air pun tak dalam sangat. Senang anak-anak aku nak mandi. Kakak bukan main seronok kutip-kutip cengkerang tepi pantai. Sampai minta nak bawa balik Putrajaya. Sebelum balik ke Putrajaya, sempat juga kami berkumpul dengan saudara-mara. Buat makan-makan potluck, panggang ikan, udang, ayam. Janji dapat berkumpul, bersembang tanya khabar sambil-sambil makan. 




Sebelum balik tu singgah la juga Pasar Filipin. Aku tak beli apa-apa, bini aku ni banyak pulak kiriman dari kawan-kawan dia. Bila nak packing, aku rasa macam dah terlebih berat. Aku tanya bini aku masa terima kiriman kawan-kawan tu tak limit ke berat berapa. Last-last mana yang boleh hand carry, kami hand carry je. Yang masuk kargo cukup-cukup berat. Tak kena bayar pape.


Flight kami ke KLIA reschedule pulak. Patut flight jam 7 malam reschedule ke 9 malam. Bila kira-kira balik jam 12 pagi baru sampai KLIA. Aku terpikir masa tu confirm ERL dah tak jalan. Bincang dengan bini nak naik Grab gi Salak Tinggi ke terus balik rumah? Bini aku tak berani nak tunggu kat Salak Tinggi sementara aku ambik kereta. Dia kata balik rumah jer esok baru ambik kereta. Nak jadi cerita, Grab pun tak dapat time tu. Bila tanya kaunter teksi dia charge kalau tak silap 120 pegi Putrajaya. Gila betul. Ntah macamana aku buka app airasia ternampak boleh book teksi. Aku saja jer la try. Dapat pulak. Murah pulak tu dalam 45 ringgit kalau tak silap. Bila sembang dengan driver teksi tu, dia bagitau kalau aku ambik yang teksi kaunter tu, nanti naik teksi dia juga. Kebetulan dia pun buka app airasia tu, pastu dapat order nak ke Putrajaya. Dah dekat dengan rumah dia katanya. Ada order lain tapi pergi KL dia rejek sebab nak ambik last trip yang dekat-dekat dengan rumah dia. Rezeki aku la malam tu. Alhamdulillah, sampai rumah dengan selamat. Esok paginya aku sorang-sorang gi ambik kereta kat Salak Tinggi naik ERL dari Putrajaya.